UPSI sedia jadi tuan rumah Sukipt 2020

KUALA LUMPUR, 18 Julai ( Bernama) — Universiti Pendidikan Sultan idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak, mempunyai kemudahan sukan yang cukup termasuk pembinaan arena boling untuk menjadi tuan rumah Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (Sukipt) 2020.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Md Amin Md Taff berkata, dengan infrastruktur yang sedia ada, UPSI sedia untuk menerima lebih 10,000 atlet dan pegawai sukan sepanjang temasya itu pada Ogos tahun depan.

“Kita jadualkan sebanyak 24 acara sukan akan dipertandingkan pada temasya edisi kali ini yang disertai lebih 800 institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara UPSI dan Universal Fitness and Leisure Sdn Bhd ( UFL), di sini hari ini.

Md Amin berkata, antara kemudahan sedia ada adalah trek olahraga, gelanggang tertutup yang boleh menempatkan tiga gelanggang futsal, padang hoki, kompleks marina dan kolam renang bersaiz Olimpik.

Mengenai sasaran kontinjen tuan rumah, katanya, mereka menyasarkan kedudukan lima terbaik selepas menghuni tangga keenam pada edisi 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *