Universiti awam pertama jalinkan kerjasama dengan UFL, pertingkatkan kualiti graduan pendidikan UPSI

KEPONG – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menerajui bidang pendidikan dengan menjadi Universiti pertama menjalinkan kerjasama bersama Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) bagi mempertingkatkan kualiti graduannya.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama yang berfokus kepada tiga teras utama iaitu keusahawanan, latihan industri (LI) dan penasihatan penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa itu adalah selaras dengan hasrat UPSI dalam melahirkan graduan dambaan majikan.

“Sasaran kami adalah untuk meningkatkan kualiti para pelajar dan memastikan mereka ini ‘serba boleh’ dalam pelbagai bidang berbeza,” katanya selepas majlis menandatangani MoU antara UPSI dan UFL yang diadakan di Wisma UFL.

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, tiga acara bertaraf antarabangsa bakal dianjurkan di UPSI pada bulan September hingga November ini iaitu Deuter MTB Jamboree, Deuter Go Camp & Hike dan Camelbak Ultra Trail Run.

UPSI diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar manakala UFL diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Radha Krisnan.

Turut menyaksikan MoU bersejarah itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli, Pendaftar Dr. Hajah Zainab Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Madya Dr. Md Amin Md Taff dan Pengerusi Eksekutif UFL, Datuk Haji Abd Malek Md Noor.

Sementara itu, Datuk Radha berkata, pengalaman luas pihaknya dalam bidang tersebut dapat memberi pengetahuan langsung tentang semua fungsi pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit barangan dan perkhidmatan sukan dan pelajar yang terpilih akan didedahkan dengan kerja dalaman dan aktiviti harian di semua bahagian.

“Malah melalui penganjuran tiga acara sukan antarabangsa yang akan berlangsung di UPSI juga dapat mendedahkan pelajar UPSI dengan pengalaman dalam penganjuran acara berkelas dunia,” katanya.

 

Article : 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *