Kejayaan beri peluang bida Piala Dunia

KEJAYAAN barisan atlet gimnastik estetik Malaysia yang beraksi pada Piala Dunia di Singapura baru-baru ini mendorong Persatuan Kumpulan Gimnastik Estetik Malaysia (MAGGA) untuk membida sebagai tuan rumah kejohanan itu tahun depan.

Proses itu bagaimanapun tampak tidak mudah apabila Kazakhstan dan Estonia turut berminat menganjurkan Piala Dunia berkenaan.

Namun Timbalan Presiden MAGGA, Datuk V Radhakrishnan yakin dengan sokongan daripada negara New Zealand, China, Singapura, Taiwan dan beberapa negara yang lain, Malaysia berpeluang cerah memenangi bidaan itu.

“Saya yakin dengan kejayaan barisan atlet negara di Singapura iaitu dua emas, dua perak dan satu gangsa akan memberi kelebihan kepada kita untuk menganjurkan Piala Dunia itu.

“Pembabitan bekas atlet gimrama negara seperti Durratun Nashihin Rosli dan Thye Chee Kiat boleh memberi kelebihan untuk Malaysia,” katanya turut berminat menganjurkan kejohanan Asia Pasifik sekiranya gagal mendapat hak penganjuran tuan rumah Piala Dunia.

Beliau berkata pada sidang media majlis penyerahan insentif kepada barisan atlet negara berjaya di Singapura, baru-baru ini.

“Pemberian insentif itu adalah perlu buat atlet muda negara menaikkan motivasi diri mereka supaya lebih bersemangat di masa depan.

“Insentif diberi kepada 28 atlet dan mereka akan menerima wang tunai RM200 berserta barang yang kesemuanya bernilai RM5,600,” katanya.

Pada aksi d Singapura, sebanyak 20 negara mengambil bahagian membabitkan 800 penyertaan.

| Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *