Syed Saddiq terkejut, anggap satu kesalahan

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terkejut dengan pendedahan ada pemimpin persatuan sukan kebangsaan (NSA) menerima gaji atau elaun mencecah RM50,000 sebulan.

Tegasnya, atas sebab itu beliau lebih suka sekiranya NSA diterajui bekas atlet mahupun ahli perniagaan berbanding dimonopoli oleh ahli politik.

“Bagi kerajaan sebenarnya kami tiada peruntukan seperti itu,” katanya dalam nada tidak percaya apabila diajukan soalan berhubung pendedahan BH Sukan, semalam.

“Dan paling penting sesiapa yang hendak merebut jawatan (di NSA) bila diberikan tanggungjawab terbabit mereka tidak boleh hanya memikirkan kepentingan peribadi.

“Ia tempat untuk kita berkhidmat semula, saya selalu syorkan lebih ramai bekas atlet sepatutnya memainkan peranan dalam NSA kerana mereka lebih memahami ataupun ahli perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran rasmi jenama pakaian sukan baharu ‘Team Mas’ di Menara KBS, semalam.

Menerusi laporan BH Sukan semalam, ‘orang lama’ sukan negara, Datuk Sieh Kok Chi mendedahkan manfaat yang diperoleh pemimpin adalah berbeza-beza mengikut struktur NSA itu sendiri.

Malah, dakwanya pelbagai manfaat diperoleh individu terbabit termasuk ada yang menerima gaji atau elaun sehingga RM50,000 sebulan serta tiket penerbangan kelas pertama.

Justeru, Syed Saddiq percaya sekiranya benar dakwaan ada pemimpin NSA menerima habuan lumayan seperti itu ia adalah salah.

“Mereka sepatutnya tahu apa tujuan utama mereka sebab pada akhirnya adalah untuk berkhidmat semula dalam membawa kejayaan kepada persatuan,” katanya.

Laporan penuh dalam edisi cetak
BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *