3 kali saya rayu Subahan, Shamala undur

PENGARAH Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd, Datuk Radha Krishnan.

‘3 kali saya rayu Subahan, Shamala undur’

PUTRAJAYA: Bukan sekali tetapi sebaliknya tiga kali Datuk Radha Krishnan merayu agar Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Dr S Shamala berpegang pada prinsip untuk berundur daripada terus memimpin Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Prinsip kedua-dua pemimpin itu dipersoalkan Radha pada sidang media di Menara KBS, di sini, sebentar tadi, gara-gara tindakan mereka membuat ‘pusingan U’ apabila bertanding semula pada pemilihan badan induk berkenaan sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) 16 November ini.

Ia adalah kali kedua dalam tempoh seminggu menyaksikan Naib Presiden MHC itu menyuarakan pandangan yang sama selepas kecewa dengan keputusan presiden dan timbalan presidennya yang pastinya mencalarkan imej badan induk berkenaan.

“Saya seorang yang percaya pada prinsip tapi mereka seorang ahli perniagaan berjaya dan profesor tidak berpegang kepada janji. Macam mana orang lain hendak ikut jika mereka tidak menepati janji.

“Bukan sekali tapi sudah banyak kali dalam sidang media sebelum ini beliau (Subahan) mengakui akan meletak jawatan. Mana prinsip mereka sebagai indivudu yang sangat berjaya dalam industri masing-masing.

“Apabila reputasi persatuan sudah sampai ke tahap ini, ia memberi contoh tidak baik kepada badan sukan lain. Hoki adalah antara tiga sukan terbaik di Malaysia tapi tidak menunjukkan contoh baik,” katanya.

Sambil menafikan mempunyai sebarang permusuhan peribadi, Radha turut percaya Subahan sudah menjalankan tugas yang baik sepanjang empat tahun, namun sudah tiba masanya untuk MHC mendapat ‘kapten kapal’ yang baharu.

“Ke mana arah tuju mereka? Memang beliau (Subahan) berjaya menguruskan persatuan ini dengan baik dan saya tidak menyangkalnya. Bagaimanapun, kita sudah melepaskan satu peluang terbaik selepas kehilangan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun,” katanya.

Radha juga berasa keliru apabila Pengerusi Jawatankuasa Perundangan KHM, Jadadish Chandra, menjadi individu yang mengumumkan nama pencalonan.

“Beliau juga dicalonkan, bagaimana boleh membuat pengumuman pula. Bukan kita ada pemangku ketua pegawai eksekutif merangkap pengurus besar. Biarlah mereka yang mengumumkan. Saya meminta Subahan agar tolong menjalankan semula proses pencalonan AGM,” katanya.

BERITA HARIAN

Leave a Reply