UPSI jalin kerjasama dengan UFL dekatkan pelajar dengan sukan

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) — Lebih 2,000 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan diberi peluang untuk mempelajari dan meraih pengalaman berguna dalam sukan menerusi kerjasama universiti itu dengan Universal Fitness And Leisure Sdn Bhd (UFL).

Naib Presidennya Prof Dr Mohammad Shatar Sabran berkata kerjasama yang dimeteri menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini, akan menggalakkan pelajar UPSI untuk terlibat melangkaui bidang akademik, dan meningkatkan nilai tambah di samping mendekatkan diri dengan perniagaan.

“Sasaran kami adalah untuk meningkatkan kualiti para pelajar dan memastikan mereka ini ‘serba boleh’ dalam pelbagai bidang berbeza,” katanya selepas majlis menandatangani MoU Sukan:UFL-UPSI di Wisma UFL di sini hari ini.

Mohammad Shatar menandatangani MoU itu bagi pihak UPSI manakala UFL diwakili oleh Pengarah Urusannya Datuk Radha Krisnan, dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Ahmad Faedzal Md Ramli.

Radha berkata kerjasama itu akan menyaksikan dua pihak yang cukup ternama dalam negara, untuk tampil bersama dengan penuh semangat untuk meningkatkan lagi industri sukan menerusi pelbagai program.

“Kita telah mengenal pasti tiga bidang di mana kedua-dua pihak boleh memberikan nilai tambah, yakni pembangunan keusahawanan, program latihan praktikal, dan penganjuran acara-acara bertaraf dunia,” katanya.

Radha berkata bagi program latihan praktikal, beberapa pelajar UPSI akan dibekalkan dengan pengalaman dan tunjuk ajar industri semasa bertugas di UFL.

“Dalam aspek penganjuran acara bertaraf dunia pula, kita akan dedahkan pelajar-pelajar UPSI dalam tiga acara, yakni – Deuter MTB Jamboree, Deuter Camp and Hike, dan CAMTRA (Camelback Ultra Trail Run),” katanya.
| BERNAMA

Leave a Reply