Presiden Persatuan Kumpulan Gimnastik Estetik Malaysia (MAGGA), Datuk Radha Krishnan, meluahkan hasrat untuk membida hak menganjurkan Kejohanan Piala Dunia Gimnastik Estetik 2020 sebagai pengenalan kepada sukan itu.
Radha mengharapkan kejayaan empat pasukan yang mewakili Malaysia dalam Piala Dunia Sukan Estetik Singapura, bulan lalu, akan mengukuhkan lagi faktor untuk Malaysia dipilih selaku tuan rumah edisi tahun depan.
Selain Malaysia, Estonia dan Kazakhstan turut berhasrat untuk menganjurkan Piala Dunia 2020.
Empat pasukan daripada 16 pasukan yang dipertaruhkan skuad negara dalam saingan di Singapura itu menyaksikan mereka unggul dengan dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa menerusi kategori kanak-kanak dan remaja.
“Kami berpeluang cerah untuk memenangi bidaan Piala Dunia 2020 tetapi mendapat saingan sengit daripada Estonia dan Kazakhstan.
“Dengan kemudahan dan program latihan yang baik di sini, saya yakin kami berpeluang cerah,” ujar Radha.
Dalam masa sama, MAGGA bakal menganjurkan Kejohanan Kebangsaan Piala Unity di Kuala Lumpur yang melibatkan cabaran daripada negara-negara lain sebagai persiapan untuk skuad negara menghadapi Piala Dunia tahun depan, sekali gus menjadi landasan pemilihan atlet skuad kebangsaan.
“Kejohanan Kebangsaan, Ogos ini, menjadi medan untuk kami memilih pemain bagi skuad Piala Dunia 2020,” katanya lagi.
| Stadium Astro