AHMAD Faedzal Md. Ramli (dua dari kanan) menayangkan cenderamata penghargaan UFL dan UPSI selepas MOU kedua-dua syarikat dan universiti itu di Wisma UFL, Kuala Lumpur hari ini.
Oleh KAKI BANGKU
KONTINJEN Malaysia berharap masalah kesesakan lalu lintas di jalan-jalan raya Manila sepanjang Sukan SEA Ke-30 di Filipina mampu ditangani Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (Phisgoc) dengan mencontohi amalan terbaik Indonesia ketika menjadi tuan rumah Sukan Asia Ke-18, tahun lalu.
Mewujudkan lorong khas untuk memudahkan pergerakan atlet-atlet dan pegawai-pegawai kontinjen negara-negara peserta wajar menjadi keutamaan Phisgoc sepanjang temasya dari 30 November hingga 11 Disember itu sekalipun tempoh itu difahamkan bakal sibuk dengan persiapan masyarakatnya menyambut Hari Krismas.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, kontinjen negara telah mengusulkan idea ini ketika mesyuarat ketua kontinjen dan sesi tinjauan venue Sukan SEA di sana minggu lalu yang turut dihadirinya bersama-sama Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Nurul Huda Abdullah.
“Tuan rumah mungkin perlu sediakan bantuan melancarkannya dengan motosikal atau kereta peronda dan pengiring supaya atlet tidak terperangkap sehingga kelewatan sampai di venue-venue mengikut jadual pertandingan yang ditetapkan.
“Kami cadangkan amalan yang pernah dilaksanakan ketika Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun lalu ini kerana difahamkan sepanjang Sukan SEA dari 30 November hingga 11 Disember merupakan musim tersibuk yang hampir dengan perayaan Hari Krismas rakyatnya,” katanya yang juga Timbalan Ketua Kontinjen negara.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Universal Fitness & Leisure (UFL) Sdn. Bhd. dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Wisma UFL, Kuala Lumpur hari ini membabitkan kerjasama pembangunan keusahawanan, latihan amali dan penganjuran acara antarabangsa.
UFL diwakili Datuk V. Radha Krishnan Nair selaku Pengarah Urusannya manakala Prof. Datuk Mohammad Shatar Sabran menandatangani sebagai Naib Canselor UPSI, Tanjung Malim, Perak.
UPSI juga kata Shatar, telah dipilih sebagai tuan rumah Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SukIPT) Kelima yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos tahun depan dengan mempertandingkan 24 jenis sukan yang akan dimeriahkan hampir 20,000 atlet, pegawai dan sukarelawan.
Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Madya Md. Amin Md. Taff berkata, penganjuran SukIPT 2020 juga bersempena sambutan 100 tahun universiti itu pada tahun 2022 dengan hak tuan rumah diraihnya ekoran kejayaan mereka mengelolakan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia (Sukum) 2017.
“Kira-kira 200 kontinjen dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan menyertainya. UPSI menawarkan kemudahan sukan lengkap bertaraf antarabangsa seperti kolam renang bersaiz Olimpik, lima padang bola sepak dan empat bagi ragbi, dewan tertutup dan kompleks marina serta pusat boling 24 lorong yang bakal siap dibina.
“Selain menawarkan kemudahan hotel dan asrama sukan bagi menampung kehadiran mereka, kami juga akan bekerjasama dengan Kompleks Sukan Proton City, Tanjung Malim bagi venue tambahan sukan-sukan tertentu,” katanya.
—BebasNews